Showing posts with label Maklumat Pendidikan Pemulihan. Show all posts
Showing posts with label Maklumat Pendidikan Pemulihan. Show all posts

Wednesday, 16 April 2014

4.0 Kaedah Pelaksanaan Program Pemulihan Khas

4.0       Kaedah Pelaksanaan Program  Pemulihan Khas
Pendidikan  pemulihan boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara. Tiada satu pun cara yang tetap dapat dijadikan turutan muktamad.  Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama dari Kementerian Pelajaran Malaysia ada menerbitkan buku panduan pengajaran pemulihan.  Guru boleh merujuk kepada buku ini untuk mendapat penjelasan sekiranya ada masalah yang timbul semasa melaksanakan program pemulihan.
Dalam sistem pendidikan pemulihan di Malaysia, langkah-langkah pengajaran pemulihan yang lazim dijalankan adalah seperti berikut:

4.1       PENCALONAN MURID
Pencalonan adalah peringkat paling awal dan paling penting dalam proses pengajaran pemulihan. Guru mengajar sesebuah kelas haruslah peka tentang kewujudan pelajar-pelajar yang memerlukan pendidikan pemulihan berdasarkan ciri-ciri pelajar lembam, lambat atau bermaslah menguasai kemahiran 3 M.
Andainya pendidikan pemulihan diberikan oleh guru kelas sendiri, pencalonan menjadi lebih mudah kerana guru kelas dapat menentukan murid-murid yang memerlukan pengajaran pemulihan.
Namun jika sekolah mempunyai guru pemulihan yang khas, guru pemulihan tersebut hendaklah mendapatkan maklumat dan sokongan daripada guru kelas, guru matapelajaran atau guru besar serta ibu bapa murid berkenaan.  Proses pengumpulan maklumat menjadi lebih mudah dan cepat jika pihak sekolah mempunyai rekod pencapaian murid-murid dengan lengkap dan kemaskini.

Mengikut kebiasaan, pencalonan murid untuk kemasukan ke kelas pemulihan boleh dilakukan oleh guru kelas, guru besar ibu bapa atau penjaga. Pencalonan adalah berdasarkan kepada pencapaian  mereka dalam pelajaran Bahasa Malaysia atau Matematik. 
Kesimpulannya, pengambilan murid haruslah dilakukan secepat mungkin supaya tidak berlaku tindanan masalah pembelajaran kanak-kanak. Selain itu, ia bersesuaian dengan konsep intervensi awal (early intervention), masalah pembelajaran lebih mudah diatasi sekiranya dapat dirawat pada peringkat awal lagi.

Walaubagaimanapun penerimaan murid ini ke kelas pemulihan adalah bergantung kepada guru pemulihan yang mengajar di sekolah itu. Guru pemulihan haruslah menggunakan kebijaksanaannya untuk menentukan sama ada pencalonan itu munasabah atau tidak berdasarkan kriteria-kriteria tertentu. Keputusan guru pemulihan bagi menentukan murid yang dicalonkan itu patut diterima atau tidak adalah muktamad.

            4.2       PENGUMPULAN MAKLUMAT
Setelah guru pemulihan menerima calon-calon tidak semestinya semua murid itu disaring melalui ujian saringan yang formal. Penapisan boleh dilakukan melalui penelitian maklumat yang boleh diperolehi dari kad-kad peribadi murid, kad kemajuan pelajaran, atau melalui perbincangan dengan guru kelas, guru besar, ibu bapa atau penjaga dan melalui pemerhatian oleh guru pemulihan itu sendiri.
Maklumat tentang butir-butir latar belakang taraf pendidikan ibu bapa serta keadaan fizikal murid, adalah amat penting jika masalah-masalah pembelajarannya hendak diatasi. Maklumat ini boleh menolong guru pemulihan memahami corak kesukaran yang dialami oleh murid itu serta membantunya dalam pemulihan.




4.3       UJIAN SARINGAN
Ujian saringan dijalankan selepas guru pemulihan mendapat calon-calon yang telah dicalonkan kepada mereka. Ujian saringan akan ditadbirkan oleh guru pemulihan dan ujian ini akan menentukan sama ada murid akan mengikuti program pemulihan atau tidak. Namun begitu, bilangan murid yang akan diterima masuk untuk mengikuti program bergantung kepada beberapa faktor iaitu:
               Skor yang rendah
               Jumlah murid yang dapat diselanggarakan oleh guru pemulihan
               Jenis atau peringkat masalah yang dihadapi oleh muri

               Ruang yang ada untuk kelas pemulihan.




Kesimpulannya, ujian saringan dapat memberi penguji satu contoh perlakuan akademik untuk dianalisis dan dinilai bagi tujuan rancangan pendidikan. Ujian saringan ini digunakan untuk menyaring jumlah murid yang akan mengikuti kelas ataupun program pendidikan pemulihan.  

3.0 Keperluan Pelaksanaan Program Pemulihan di sekolah-sekolah rendah di Malaysia

3.0       Keperluan Pelaksanaan Program Pemulihan di sekolah-sekolah rendah di Malaysia
  Mengapa perlu melaksanakan Pendidikan Pemulihan di sekolah-sekolah rendah?
Apabila seseorang murid gagal mencapai kemajuan pada tahap yang ditentukan sebagaimana murid-murid yang lain dalam kelasnya, maka ia perlu diberi bimbingan secara individu. Punca masalahnya berbagai-bagai, termasuklah minat, latar belakang sosial dan kelakuan. Walaubagaimanapun, ini dianggapkan bahawa kegagalan akademik murid ini berpunca daripada ketidakbolehan mengusai kemahiran-kemahiran asas seperti membaca, menulis  dan mengira.  Murid ini dikatakan memerlukan pemulihan.
Pendidikan pemulihan merupakan satu proses pengajaran pembelajaran yang memberi keutamaan kepada masalah murid dan langkah-langkah yang wajar seharusnya diambil untuk mengenal pasti dan memulihkannya.
Program pemulihan juga akan memberi perhatian kepada sikap murid-murid yang negatif dan tingkah laku yang kurang baik yang akan menjejaskan pembelajaran dan pembentukan sikap yang baik.
Dalam konteks KBSR, program pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas 3M. Mereka ini diberikan program pemulihan sebaik sahaja masalah tersebut dapat dikesan dan dikenalpasti.
Murid yang menghadapi  masalah pembelajaran dan memerlukan pemulihan ialah mereka yang memperoleh pencapaian di bawah paras yang sepatutnya. Murid-murid ini boleh didapati di semua peringkat persekolahan, sama ada di bandar atau di luar bandar. Masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid-murid ini jika tidak terlalu berat, pengajaran pemulihan boleh dijalankan oleh guru kelas biasa sendiri. Masalah pembelajaran yang teruk atau berat dan kompleks pula memerlukan guru pemulihan khas di dalam kelas khas terutamanya bagi kemahiran asas 3M.
Apabila kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau konsep telah dipulihkan, murid-murid ini boleh mengikuti mata pelajaran yang lain seperti Muzik, Pendidikan Jasmani Kesihatan, Pendidikan Seni dan sebagainya bersama-sama rakan mereka di kelas biasa. Murid yang mengikuti program pemulihan dalam kelas biasa akan diubahsuaikan penempatan mereka dalam kumpulan yang tertentu mengikut perkembangan mereka dari semasa ke semasa.





2.0 Konsep dan Definisi Program Pemulihanj

2.0       Konsep dan Definisi Program Pemulihan

2.1       Pengenalan
Pendidikan peringkat rendah ialah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI) selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Penguasaan kemahiran asas membaca, menulis, mengira (3M) perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan. Justeru, Pendidikan Pemulihan Khas mengutamakan prinsip "menyelesaikan masalah seawal mungkin" supaya tidak menjadi kronik dan berterusan hingga ke tahap 2 persekolahan rendah atau ke peringkat persekolahan menengah rendah.
Program Pemulihan Khas telah mula diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) semenjak tahun 1960an . Program ini bertujuan untuk membantu murid-murid di sekolah rendah yang menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran kemahiran asas membaca, menulis dan mengira ( 3M ). Pada tahun 1983, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah diperkenalkan dalam sistem pendidikan Malaysia. Kurikulum baru ini memberi fokus kepada 3M dan murid-murid yang tidak menguasainya dibantu melalui Program Pemulihan Khas. Hasil pencapaian murid pada tahap 1 (Darjah 1 -3) dapat menentukan sama ada murid mengalami masalah penguasaan 3M atau sebaliknya. Sekiranya ada, pihak sekolah perlu berusaha menyediakan Program Pemulihan Khas bagi mengatasi masalah yang tersebut.
Seterusnya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006–2010 yang bertujuan memperkasakan Sekolah Kebangsaan dan merapatkan jurang pendidikan, juga memberi penekanan kepada pembasmian masalah 3M. Sehubungan itu beberapa pelan tindakan dirancang untuk memastikan murid-murid dapat menguasai kemahiran asas 3M pada tahap 1. Selaras dengan hasrat itu, KPM juga pada waktu yang sama telah menyuntik semangat baru kepada Program Pemulihan Khas dengan menaik taraf kelas pemulihan bukan sahaja dari aspek prasarana, juga dari segi kualiti pengajaran dan pembelajaran dengan menyediakan guru pemulihan khas terlatih yang mencukupi termasuk di Sekolah Kurang Murid (SKM)



2.2       Definisi
2.2.1    Program Pemulihan
Menurut KPM program pemulihan khas adalah satu program pendidikan disediakan untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan kemahiran 3M yang kompleks disebabkan oleh faktor utamanya adalah persekitaran. Program ini dijalankan oleh guru yang telah menerima kursus pemulihan khas di kelas /ruang yang khusus. Murid-muridnya adalah terdiri dari murid-murid yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas 3M disebabkan oleh faktor persekitaran dan bukan kognitif.
2.2.2    Guru Pemulihan
Individu-individu yang terlatih di institut yang menyediakan kursus-kursus pendidikan pemulihan. Misalnya, universiti, institut perguruan dan institut pendidikan guru sama ada dalam negara atau luar negara. Hasilnya guru pemulihan mempunyai kepakaran yang khusus bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid yang lemah dalam penguasaan kemahiran asas 3M.
2.2.3    Murid Pemulihan Khas

2.3       Matlamat
Program Pemulihan Khas disediakan untuk membantu murid Tahap 1 sekolah rendah menguasai kemahiran-kemahiran asas 3M yang belum dapat dikuasai dalam tempoh masa ditetapkan.

2.4       Objektif
Setelah mengikuti program pemulihan khas ini murid dapat:
a) Menguasai kemahiran asas 3M.
b) Meneruskan pembelajaran di kelas biasa.
c) Membina sikap keyakinan diri dan positif terhadap pembelajaran.

2.5       Pencalonan Murid Ke Program Pemulihan Khas
a) Pencalonan murid boleh dibuat oleh:
·         Guru mata pelajaran / guru kelas
·         Guru besar
·         Ibu bapa/ penjaga
b) Pencalonan adalah berdasarkan kepada pencapaian mereka dalam pelajaran Bahasa  
    Melayu atau Matematik.
c) Murid-murid boleh dicalonkan :
·         Untuk Tahun 1            : setelah tidak melepasi Saringan LINUS
·         Untuk Tahun 2 dan 3  : selepas meninjau prestasi murid dalam mata pelajaran asas pada tahun sebelumnya. Masa yang paling baik sekali ialah di awal tahun persekolahan.